Saturday, December 15, 2012

CINDERELLA21_MAWAR MERAH YANG SEPI

BAB 3

Toyota Camry menyusur megah di tengah bandar raya Johor Bahru. Kelihatan pemandu dan penumpangnya begitu asyik berbicara. Kemudiannya, kenderaan itu memasuki perkarangan sebuah rumah kos sederhana.

            “Ira ingat nak kerja kat KL lah. Lagipun Elli dah dapatkan satu jawatan kat syarikat dia untuk Ira. Insya Allah rabu ni pergi interview. Boleh ye?” Tanya Ira kepada Shahrul Iskandar. Tubuh yang keletihan disandarkan ke sofa yang terletak di ruang tamu. Kemudiannya, Shahrul Iskandar menghilangkan diri ke dapur, mengelak dari memberi sebarang jawapan tentang soalan kekasihnya tadi. Lebih kurang lima minit selepas itu, Iskandar muncul kembali di ruang tamu sambil membawa dua tin minuman PEPSI. Seterusnya dia mengambil tempat di sebelah Ira dan tangan kirinya melingkari bahu gadis itu.

            “Nak kerja kat KL?” Tanya Iskandar. Ira sekadar mengangguk. Matanya masih bersatu dengan pandangan Iskandar.

            “Kat JB ni tak de tempat lagi boleh kerja agaknya...” Iskandar memberi komen yang berbaur negatif.

            “Hai… bunyi macam tak nak bagi pergi jer.”

            “Bukan tak bagi, tapi kalau sayang nak kerja, abang boleh rekemen sayang pada boss abang, bolehlah kita jumpa hari-hari.” Iskandar memberi cadangan, sebolehnya dia tidak mahu berjauhan dengan wanita itu lagi. Cukuplah tempoh empat tahun berjauhan sewaktu wanita itu menyambung pengajiannya dahulu. Dia tidak mahu lagi mengulangi kejauhan ini.

            “Kerja satu office dengan abang? Bahayalah... Nanti semua orang tahu abang ada skandal” Shahirah Huda memberikan sebab, sekali gus menolak cadangan itu. Memang cadangan Shahrul Iskandar itu bukan yang terbaik bagi mereka.

Shahrul Iskandar senyap. Tiada sebutir perkataan pun yang lahir dari bibirnya. Melihat kebisuan Iskandar itu, Ira lantas memeluknya. Dia tahu amat sukar bagi lelaki itu untuk melepaskannya pergi. Seperti Shahrul Iskandar, Ira juga sebenarnya tidak mahu berjauhan dengan kekasih hati. Tetapi, bukankah dia terpaksa mengorbankan sesuatu yang berharga demi masa depannya….?

            “Abang.., walau seribu benua memisahkan kita, cinta Ira tetap untuk abang.” Pujuk Ira, meyakinkan Shahrul Iskandar akan cintanya. Sebaik sahaja mendengar bicara Ira itu, Shahrul Iskandar terus menatap wajah kekasihnya tanpa berkelip. Pandangannya itu meminta kejujuran Shahirah Huda.

            “Biarpun ombak merubah pantai, kasihku tak akan hancur berderai. Biarpun hari berganti hari, abang tetap di hati.” Tambah gadis itu lagi sambil mencubit geram hidung lelaki di sisinya. Shahrul Iskandar tersenyum puas. Puas kerana dia berjaya memiliki hati gadis ayu di sisinya itu.

            “Nampaknya abang kena berulang alik lagilah ke KL macam empat tahun yang lepas.” Seloroh Iskandar. Sepanjang empat tahun Ira menuntut di UKM, dia sering ke Bangi untuk bertemu dengan sang kekasih yang di rindui.

            “Kalau terpaksa tak usah datang. Senang je...” Ira menarik muka masam.

            “Merajuk nampak.” Duga Iskandar. Namun Ira cepat-cepat menolak kenyataan itu. Dia sudah mula mahu nampak seperti wanita yang tabah di hadapan kekasihnya. Tidak mahu lagi kelihatan seperti seorang yang lemah hanya kerana cinta seorang lelaki. Meskipun waktu itu, gundah hatinya, hanya Allah swt sahaja yang tahu. Tak nak jumpa, aku keluar dating dengan pakwe lain, baru tahu,,, hatinya mengugut.

            “Tak adalah. Saya sedar siapa dan di mana saya dalam hidup abang.” Shahirah Huda mula berjauh hati.

            “Sayang.., kan abang dah cakap dulu, abang sayang dua-dua. Yang di sana sayang sebagai seorang isteri, yang di sini sayang sebagai seorang kekasih.” Jelas Iskandar. Dia tahu betapa sukarnya berada di antara dua orang wanita. Hati keduanya harus dijaga. Tapi dia tak pernah menyesal kerana mengahwini Intan Shafikah dan tidak juga kesal kerana membawa Shahirah Huda ke dalam hatinya. Bersama Intan Shafikah dia belajar erti kasih sayang, bersama Shahirah Huda dia diajar tentang kejujuran dan kesetiaan. Kedua- duanya umpama mutiara yang bersinar, haruskah dia lemparkan salah satu daripada mutiara itu sedangkan dia tahu ia akan membawa kerugian. Jadi jalan penyelesaiannya, satu mutiara dijaga dan dibelai dengan penuh kasih sayang dan satu mutiara lagi ditempatkan di mahligai yang penuh dengan warna-warni cinta.

            “Sampai bila abang nak sayangi saya sebagai seorang kekasih? Tak bolehkah saya miliki abang seperti mana dia memiliki abang?” Ira menyoal. Ada manik-manik halus di kolam matanya.

            “Sayang, walau apapun yang berlaku sayang tetap di hati abang. Abang pun nak hidup dengan sayang macammana abang hidup dengan dia, tapi sayang kena faham situasi abang sekarang. Sayang kena faham juga perasaan dia sebagai seorang perempuan.” Ira mengangguk lagi, bersetuju dengan penjelasan Shahrul Iskandar. Dan mutiara itu gugur lagi di hadapan lelaki yang dia cintai. Lantas tangan yang sasa itu menyeka lembut air mata yang membasahi pipi Shahirah Huda. Tiba-tiba handphone Iskandar berdering. Ira yakin pemanggilnya ialah wanita itu. Ini bukan kali pertama Intan Shafikah menghubungi Shahrul Iskandar sewaktu lelaki itu berada di sampingnya. Malah setiap kali mereka bertemu, setiap kali itu jugalah Iskandar akan menerima panggilan daripada isterinya. Dan Ira akan menjadi penonton setia, melihat kebahagiaan Iskandar dan isterinya.



Cinderella21_Mawar Merah Yang Sepi

Shahrul Iskandar termenung panjang di anjung teratak harmoninya. Wajah Ira asyik bermain di ruang mata. Entah kenapa sejak pertemuan semalam, fikirannya terganggu. Yang pasti Shahirah Huda adalah puncanya. SHAHIRAH HUDA.. gadis itu di temui ketika dia berusia tiga puluh dua tahun. Shahirah Huda merupakan seorang pelajar tingkatan lima. Seingat Iskandar, mereka bertemu sewaktu berada di restoran KFC. Kesian beg duitnya hilang dan hanya disedari sewaktu hendak membayar bil makanan. Atas perikemanusiaan, Iskandar menolong Ira melangsaikan bil tersebut. Pertemuan kedua adalah ketika Ira ketinggalan bas kerana begitu asyik membaca novel. Iskandar jugalah yang tolong hantar dia kembali ke hostel. Kata Iskandar waktu itu ialah, dia hero Malaya dan Ira gadis malang. Ira tergelak dengan usikan itu. Akhirnya hubungan itu terus mekar, cuma waktu tersebut Iskandar belum lagi berkahwin.

            “Abang, jauh menung, teringat kenangan masa kita kahwin dulu ker?” Kehadiran Intan Shafikah segera mematikan lamunannya. Malah, bayangan Ira juga turut lenyap, tak muncul lagi di ruang mata. Mungkin bayangan itu takutkan Intan agaknya, duga hati kecil Iskandar.

            “Tak tidur lagi?” Tanya Iskandar. Intan menggeleng dan memberitahu bahawa dia masih belum mengantuk.

            “Boleh kita berbicara sikit?” Pinta Iskandar kepada isterinya itu. Intan berkerut kening dengan permintaan suaminya.

            “Aik,  minta izin macam kita tak pernah berbicara sebelum ni. Kenapa ni?” Iskandar tersenyum.

            “Bulan dan bintang, api dan air, ombak dan pantai; walaupun dijadikan berpasangan tapi jarang mereka dapat bersama…,  macam tu lah kita, kan?” Iskandar menatap wajah isterinya. ‘Cantiknya isteriku,’ puji hatinya.

            “Kita sama-sama sibuk, abang. Tapi kesibukan itu jangan sampai membunuh kasih sayang kita.” Intan Shafikah menggenggam erat tangan suaminya. Sebagai seorang kaunselor, dia dapat merasakan ada gersang yang bertapak di hati lelaki itu.

            “Katakanlah abang, apa yang ingin abang bicarakan tadi. Intan sedia mendengarnya.” Iskandar menarik nafas panjang. Kemudian dia berdiri, sambil menyeluk poket, dia berjalan ke arah kolam renang. Intan mengekorinya.

            “Cinderella21_Mawar Merah Yang Sepi, kisah seorang lelaki yang mempunyai dua orang wanita dalam hidupnya. Seorang…, isteri yang baik dan seorang lagi…, kekasih yang amat memahami. Hendak dikahwini kekasihnya itu bimbang si isteri akan terluka. Hendak ditinggalkan, sayang sekali kejujuran dan kesetiaannya telah merantai hati lelaki itu. Persoalannya kalau Intan jadi lelaki tu, apa yang akan Intan lakukan?” Tanya Iskandar bersungguh-sungguh. Pertanyaan itu disambut dengan gelak tawa Intan Shafikah. Geli hatinya bukan kepalang mendengar cerita Iskandar. Iskandar cuma melihat sahaja gelagat isterinya itu. Ya…, dia tak faham dengan situasi yang melanda diri suaminya ketika ini.

            “La, itu aje nak tanya?” Kemudian Intan menyambung lagi, “Cara abang menghayati cerita tu, macam terkena batang hidung abang sendiri jer.” Komen Intan Shafikah. Iskandar terkejut. Di luar jangkaannya, Intan akan berkata begitu. Namun, Iskandar pantas memberi alasan mengapa dia mengutarakan soalan itu kepada isterinya.

            “Tak adelah, abang kan lelaki. Jadi abang tercari-cari jugalah jalan penyelesaiannya, manalah tahu kalau-kalau satu hari nanti berlaku pada abang pulak. Dapatlah abang buat keputusan yang bijak.” Jawapan Iskandar itu diakhiri dengan gelak tawanya. Sementara Intan pula hanya menjeling tajam. Dan sempat juga lengan Iskandar di cubit perlahan. Selepas itu, kedua-duanya membisu. Melayan perasaan masing-masing.

            Kemudian, Intan berjalan meninggalkan Iskandar sendirian. Melihat saja isterinya mahu beredar, Iskandar segera melaung kecil memanggil nama Intan.

            “Intan, jawapan yang abang nak….”

            “Tak de kena-mengena dengan kita, tak usahlah abang fikirkan. Lagipun, tentu penulis cerita tu dah tetapkan jalan penyelesaiannya kan.” Intan terus berlalu masuk ke dalam mahligai cintanya, meninggalkan Iskandar dengan kekalutan. Di tepi kolam, Iskandar masih lagi termangu. Bayangan Ira hadir lagi.

            Gadis itu terlalu baik, terlalu menyayangi dirinya, terlalu memahami, setia dan juga jujur. Haruskah perasaan gadis itu dilukai? Tidak, aku tak berhak untuk melukai hati dan perasaannya. Habis, apa perlu aku buat?????????????


2 comments:

  1. Yang membaca dan menghayati.December 15, 2012 at 4:32 PM

    ...tiba ke bab ke-3 ini, adakah persamaan atau kebetulan.

    ReplyDelete
  2. Yang membaca dan menghayati: Apa yang sama, apa yang kebetulan? Hanya rekaan semata-mata, tak de kena mengena sama ada dengan yang hidup ataupun mati... hehe

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...